Ciri-ciri Frasa nama

Frasa nama (FN) boleh dikenal pasti melalui ciri khususnya iaitu ia boleh didahului oleh kata bilangan dan penjodoh bilangan. Contoh FN yang didahului oleh kata bilangan dan penjodoh bilangan ialah (1) yang berikut.

(1) contoh:

a. Seorang pelajar.b. Tiga ekor kucing.c. Sepuluh buah rumah.

Dalam (1), FN “pelajar” (1a), “kucing” (1b) dan “rumah” (1c) masing-masing didahului oleh kata bilangan “se”, “tiga” dan “sepuluh”, dan penjodoh bilangan “orang”, “ekor” dan “buah”.

Ciri lain FN ialah ia boleh diikuti oleh kata tunjuk. Contoh FN yang diikuti oleh kata tunjuk ialah (2) yang berikut.

(2) contoh:

a. Pelajar itu.b. Tiga ekor kucing ini.c. Sepuluh buah rumah itu.

Dalam (2), FN “pelajar” (2a), “tiga ekor kucing” (2b) dan “sepuluh buah rumah” (2c) masing-masing diikuti oleh kata tunjuk “itu” dan “ini”.

Mengenai kehadiran kata bilangan, penjodoh bilangan dan kata tunjuk ini, tiga perkara perlu diberi perhatian. Pertama, kata bilangan “se” (satu) mesti disertai oleh penjodoh bilangan (3a-c) tetapi tidak demikian halnya dengan kata bilangan lain (4a-c).

(3) contoh:

a. Seorang pelajar.a’. *Satu pelajar.b. Seekor kucing.b’. *Satu kucing.c. Sebuah rumah.c’. *Satu rumah.

(4) contoh:

a. Dua orang pelajar.a’. Dua pelajar.b. Tiga ekor kucing.b’. Tiga kucing.c. Sepuluh buah rumah.c’. Sepuluh rumah.

Kejanggalan (3a’-c’) menunjukkan bahawa penjodoh bilangan mesti hadir bersama kata bilangan “se” (satu) dalam pembentukan FN. Sebaliknya kejituan (4a’-c’) menunjukkan bahawa kehadiran penjodoh bilangan hanya bersifat pilihan bagi kata bilangan selain “se” (satu)..

Kedua, FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan “se” (satu) dan penjodoh bilangan tidak boleh lagi menerima kehadiran kata tunjuk (5a-c) tetapi tidak demikian halnya dengan FN yang menerima kata bilangan lain (6a-c).

(5) contoh:

a. *Seorang pelajar itu.b. *Seekor kucing ini.c. *Sebuah rumah itu.

(6) contoh:

a. Dua orang pelajar itu.b. Tiga ekor kucing ini.c. Sepuluh buah rumah itu.

Kejanggalan (5a-c) menunjukkan bahawa kata tunjuk tidak boleh hadir pada FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan “se” (satu) dan penjodoh bilangan. Sebaliknya kejituan (6a-c) menunjukkan bahawa kata tunjuk boleh hadir pada FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan selain “se” (satu) dan penjodoh bilangan.

Ketiga, FN yang dihitung dalam bentuk kumpulan (7a), timbangan (7b), ukuran (7c) dan sukatan (7d) tidak boleh menerima kehadiran penjodoh bilangan.

(7) contoh:

a. Sekumpulan pelajar.a’. *Sekumpulan orang pelajar.b. Sekilo daging lembu.b’. *Sekilo ketul daging lembu.c. Sepuluh meter kain.c’. *Sepuluh meter helai kain.d. Segantang beras.d’. *Segantang biji beras.